ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Thursday 16 January 2014

SIFAT ORANG MUKMININ DAN MUKMINAT

Mukmin bererti orang beriman, iaitu orang yang mempercayai dengan sepenuh hati, mengikrarkan dengan lisan dan mengamalkan dasar keimanan; iman kepada Allah, malaikat, kitab-Nya, rasul-Nya, hari akhirat serta takdir baik dan buruk.

Perkataan Mukmin berasal daripada kata dasar (Arab; amana, iman) dan ianya merujuk kepada seorang lelaki beriman, manakala seorang wanita beriman disebut Mukminah. Kata jamak Mukmin ialah Mukminin, sementara jamak bagi Mukminah ialah Mukminat.

Orang Mukmin mempunyai sifat tertentu sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW, antaranya ialah: 

  1. Memelihara solat dan khusyuk ketika mengerjakannya - Firman Allah dalam surah al-Mukminun, ayat 2 bermaksud: "Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya." 
  2. Meninggalkan perkara sia-sia lagi tercela - Firman-Nya bermaksud: "Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia." (Surah al-Mukminun, ayat 3) 
  3. Menjaga kemaluan - Firman Allah bermaksud: "Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela." (Surah al-Mukminun, ayat 5 dan 6) 
  4. Mereka amanat yang dipertanggungjawabkan dan menunaikan janji - Firman Allah bermaksud: "Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya." (Surah al-Mukminun, ayat 8) 
  5. Bertaubat, beribadat kepada Allah, menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran - Firman Allah bermaksud: "(Mereka itu ialah) orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan serta menjaga batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian)." (Surah at-Taubah, ayat 112) 
  6. Tidak mementingkan diri sendiri dan tidak membenci saudara seagamanya, bahkan mengasihi saudaranya tanpa mengira darjat, keturunan, kaya atau miskin - Daripada Anas RA, daripada Nabi SAW sabdanya: "Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Riwayat Muttafun Alaih) 
  7. Ganjaran bagi orang Mukmin - Dalam al-Quran Allah memberikan pelbagai janji kepada orang Mukmin. Janji Allah itu antara lain berupa pengampunan dan kenikmatan hidup di akhirat, iaitu syurga. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 25 bermaksud: "Dan berilah khabar gembira kepada orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai..." Allah juga menjanjikan kemuliaan kepada orang Mukmin, antaranya: 
  8. Mendapat petunjuk dan keamanan - Firman-Nya dalam surah al-An'am, ayat 82 bermaksud: "Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk." 
  9. Mendapat kejayaan dan kemenangan - Firman-Nya dalam surah al-Mukminun, ayat 1 bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman." 
  10. Mendapat syafaat - Firman-Nya bermaksud: "Pada hari itu, tidak lagi berfaedah syafaat kecuali orang yang diizinkan oleh Allah dan orang yang diredai perkataannya." (Surah Thaha, ayat 109) 
  11. Keteguhan hati - Firman-Nya dalam surah Ibrahim, ayat 27 bermaksud: "Allah menetapkan pendirian orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat..." 
  12. Dapat memperbaiki amalan - Firman-Nya dalam surah al-Ahzab, ayat 70 dan 71 bermaksud: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, supaya Dia memberi taufik dengan menjayakan amal kamu dan mengampunkan dosamu..."

No comments:

Post a Comment