ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..........SELAMAT DATANG KE BLOG MASJID ANNUR..........SEMOGA AMALAN KITA PADA HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM..........MARI BERSAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID KITA.

Tuesday 21 January 2014

NAK DAPAT PAHALA DAN KESEMPURNAAN BERSOLAT, MESTI KHUSUK DALAM SOLAT

Firman Allah dalam surah al-Maun, ayat 4 dan 5 bermaksud: “Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.”

Kadangkala berdepan dengan peringatan ini ada sesetengah di kalangan kita bertanya: “Apakah yang dapat mengubati kelalaian dalam solat? Apakah cara untuk menjadikan solat itu khusyuk?”



Menurut Allamah Dr Hassan Ali al-Saqqaf melalui bukunya Sifat Solat Nabi Yang Sahih, setiap orang yang ingin menunaikan solat secara khusyuk hendaklah mempelajari ilmu fiqah mengenai solat. Malah, katanya orang terbabit wajib mengetahui syarat sah dan rukunnya, mengetahui perkara membatalkan solat dan mengenal amalan sunat dalam solat.

Pendek kata seseorang itu perlu mengetahui segala hukum ataupun ketentuan yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadat solat. Apabila seseorang mengetahui semua perkara yang semestinya dilakukan dalam melaksanakan solat, sama ada rukun, syarat, perbuatan yang membatalkan solat dan sunatnya, maka pasti akal fikirannya akan sibuk memikirkan hal berkenaan dan tertumpulah hatinya.

Keduanya hendaklah orang terbabit bangun pada malam hari bagi melaksanakan solat tahajud dua rakaat, empat rakaat ataupun lebih, namun seelok-eloknya dia menunaikan solat tahajud itu sendirian dan tidak berjemaah. Hal ini diisyaratkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan dari sebahagian malam bertahajudlah kamu sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu menempatkanmu di tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra, ayat 79) Seseorang itu perlu memulakan solat tahajud dengan dua rakaat yang ringan demi mengikuti sunah Nabi Muhammad SAW. Apabila baginda SAW bangun pada sebahagian malam bagi menunaikan solat, baginda memulakan solat dengan dua rakaat yang ringan, sebagaimana diriwayatkan Imam Muslim.

Riwayat Muslim lagi daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu bangun pada (sebahagian) malam, maka hendaklah dia membuka solatnya dengan (melakukan) solat dua rakaat yang ringan.” Seseorang yang dapat membiasakan diri dengan melakukan ibadah sebegini, insya-Allah hatinya akan hadir (memberi tumpuan) dan solatnya khusyuk dengan izin Allah SWT. Selebihnya, hendaklah dia bermohon kepada Allah SWT dengan penuh kesungguhan agar diberi taufik ataupun kekuatan dalam melakukan ibadah yang terbaik. 

Khusyuk sangat penting dalam mengerjakan solat, bahkan ia menentukan pahala solat yang akan diterima oleh seseorang. Nabi SAW menegaskan: “Sesungguhnya seorang lelaki yang melakukan solat, dia hanya mendapat pahala satu persepuluh, satu persembilan, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga ataupun setengahnya.” (Riwayat Abu Ya’la).

Perbuatan memejamkan mata dalam solat menurut Dr Hassan Ali al-Saqqaf adalah mustahab (sunat) apabila ia boleh menenangkan hati, membantu melahirkan kekhusyukan dan membantu merenungi makna yang dibaca dalam solat, sama ada ayat al-Quran mahupun zikir lainnya.

Apa saja yang dapat menolong untuk melahirkan khusyuk solat ataupun ketaatan lainnya, maka ia dikira sunat. Hal ini disepakati kalangan ulama ahli penelitian (tahqiq), antaranya Imam Nawawi yang menegaskan: “Adapun memejamkan mata dalam solat...maka menurut pendapat yang terbaik adalah dibolehkan dan tidak makruh apabila tidak ada bahayanya, kerana boleh jadi perbuatan memejamkan kedua-dua mata itu mampu membantu melahirkan khusyuk dan menumpukan hati.” Ibn al-Mundzir dalam kitab al-Ausath mengatakan: “Menurut alim ulama bagi menjaga kualiti solat (khususnya menjaga mata) apabila seseorang yang menunaikan solat tidak mencapai khusyuk dalam solatnya, maka hendaklah dia memejamkan kedua-dua matanya.”

Sumber

No comments:

Post a Comment